KUALA LUMPUR - Anak syarikat DRB Hicom Bhd, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech), hari ini memperkenalkan varian terbaharu, kereta perisai beroda (AMV) yang paling canggih, AV8 Gempita – Pengawasan (SURV) dan Stesen Senjata Kawalan Jarak Jauh (RCWS).

gambar kereta perisai Malaysia AV8 Gempita 2018
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto Bernama

SURV dan RCWS, yang sedang dipamerkan pada pameran Defence Services Asia ke-16 (DSA 2018), merupakan sebahagian daripada dua varian dalam 12 variasi AWV AV8 Gempita yang sedang dipersiapkan untuk penghantaran kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah satu kontrak yang dianugerahkan pada 2011, merangkumi reka bentuk, pembangunan dan pembuatan 259 unit Gempita.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech Lt Kol Datuk Amril Samsudin berkata, SURV akan digunakan oleh Unit Infantri Mekanis dan Rejimen Armor ATM.

"Sistem senjata yang dipasang akan memberikan kedua-dua unit itu dengan keupayaan pengawasan organik bagi mengesan formasi kereta kebal musuh," kata Amril kepada pemberita pada majlis pengenalan varian itu di DSA 2018 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Deftech memulakan penghantaran kenderaan tersebut pada 2014, dan sehingga kini telah menghantar sejumlah 118 unit, termasuk kenderaan tempur infantri dengan meriam 25mm, kenderaan tempur berperisai dengan meriam 30mm, kenderaan pemerintah berperisai, kenderaan semboyan berperisai, kenderaan anti kereta kebal dan RCWS.

SURV dipasang dengan radar bertiang teleskopik, ini akan memberikan komander kenderaan dengan kesedaran persekitaran yang lebih baik ke atas kedudukan musuh dan sahabat.

"SURV akan menjadi sebahagian daripada sasaran sensitif masa yang telah menjadi dinamik baharu dalam konsep pertempuran," kata Amril.

Sementara itu, RCWS pula dipasang dengan meriam 12.7mm dan akan digunakan oleh Infantri Mekanis.

"RCWS ini adalah selaras dengan hala tuju global di mana pasukan tentera telah mula menggunakan teknologi kawalan jauh bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa," kata Amril.

Sempena DSA 2018, Deftech dan Turki Aerospace Industries Inc (TAI), yang dimiliki oleh Yayasan Angkatan Tentera Turki dan Sekretariat Industri Pertahanan Turki, memeterai Perjanjian Kerjasama Perindustrian (ICA).

ICA itu bertujuan untuk bersama-sama mempromosikan pesawat tanpa awak jarak jauh berketinggian sederhana,  ANKA bagi memenuhi keperluan strategik Tentera Udara Diraja Malaysia.  

Pertukaran ICA itu telah diadakan di Pavilion Deftech. Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar mewakili Deftech, manakala TAI diwakili oleh anggota lembaga pengarahnya, Mejar Jen (B) Burhanettin Akti dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kedua-dua syarikat sebelum ini telah memeterai ICA semasa Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa yang dijalankan di Istanbul pada Mei 2017.

Skop kerjasama Deftech dengan TAI merangkumi pembangunan komponen komposit pesawat termaju, teknologi udara dan sistem kawalan jauh. - Bernama

20180416