بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Salah satu kisah Nabi yang mengharukan Tedi ialah kisah Nabi Zakaria alaihissalam.

Sebab apa?

Sebab baginda adalah seorang Nabi Allah tapi baginda tidak dikurniakan anak sehinggalah baginda sudah tua. Anak baginda adalah Nabi Yahya alaihissalam yang Tedi pernah baca nama Yahya itu bermaksud hidup kerana lewatnya Nabi Zakaria alaihissalam mendapat anak.

Seorang Nabi lewat menerima anak, bersabar dan berdoa, redha dengan rezeki diberi Allah mungkin supaya kisah ini menjadi panduan kepada kita semua.

Kisah Nabi Zakaria alaihissalam lewat dapat anak ini diungkapkan beberapa kali melalui beberapa surah dalam al-Quran.

Gambar anak-anak kecil Malaysia

 

Kisah Nabi Zakaria alaihissalam dalam Surah Ali Imran

Cerita bermula dengan Nabi Zakaria alaihissalam menyediakan tempat untuk Mariam mengabdikan diri kepada Allah subhanahu wa ta'ala termasuklah membawa makanan kepada Mariam di dalam satu tempat terasing dipanggil Mihrab.

Mihrab ni direka supaya tiada siapa boleh masuk dengan mudah, tapi apabila Nabi Zakaria pergi menjenguk Mariam tengok-tengok dah ada makanan di sisi Mariam.

Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapat (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”. {3:37}

Nabi Zakaria alaihissalam kagum dengan situasi itu dan baginda yang pada masa itu tiada anak berharap akan mendapat anak yang seperti Mariam.

Sudah menjadi lumrah manusia mahukan anak yang baik. Tak salah mengharapkan sesuatu yang baik, berdoalah kerana Allah selalu mendengar. Tapi kalau tak dapat apa yang didoakan tu pandai-pandailah bersangka baik kepada Allah.

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku daripada sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”. {3:38}

Akhirnya permintaan Nabi Zakaria alaihissalam itu diterima Allah subhanahu wa ta'ala dan baginda dikurniakan zuriat bernama Yahya yang akan menjadi Nabi dan beriman kepada Allah subhanahu wa ta'ala serta Nabi Isa alaihissalam.

Lalu ia (Nabi Zakaria alaihissalam) diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”. {3:39}

Nabi Zakaria alaihissalam hairan macam mana baginda boleh mendapat anak padahal baginda telah lanjut usia. Tapi kalau dah kehendak Allah subhanahu wa ta'ala tentulah tiada siapa yang dapat menghalang.

Nabi Zakaria berkata: ”Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”. {3:40}

 

Kisah Nabi Zakaria alaihissalam dalam Surah Maryam

(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria. {19:2}

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. {19:3}

Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu. {19:4}

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. {19:5}

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”. {19:6}

(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”. {19:7}

Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?” {19:8}

Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagi-Ku kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apa pun.” {19:9}

 

Kisah Nabi Zakaria alaihissalam dalam Surah al-Anbiyaa'

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”. {21:89}

Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. {21:90}

Itulah kisah-kisah yang boleh dipetik daripada al-Quran yang boleh dijadikan panduan kepada manusia zaman sekarang sedangkan kisah ini berlaku entah berapa ratus ribu tahun dahulu.

Kisah pasal tidak dapat zuriat ni bukan sahaja diceritakan melalui kisah Nabi Zakaria alaihissalam tapi juga pada kisah Nabi Ibrahim alaihissalam.

Al-Quran relevan sepanjang zaman untuk dijadikan panduan.

 

Sesungguhnya sesiapa yang belum mempunyai anak dan benar-benar berharap mendapat anak akan berasa sesuatu apabila membaca ayat-ayat ini. Bagaimana Allah subhanahu wa ta'ala memberikan nasihat melalui kisah-kisah Nabi-Nya.

 


~20160618~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih