Rintikan hujan,
Berterusan membasahi bumi ini.

Kedinginan hari,
Semakin keras mencengkam lubuk hatiku.

Kesepian alam,
Semakin terasa bersama setiap derap langkahku

Genggam janji yang kita meterai,
Bersua semula suatu masa.

Tiada daya untukku menghalang,
Tempias hujan membias mentari,
Tiada upaya menggapai warna-warni pelangi.

Sekadar menatap hiasannya,
Dek beza jarak ia terasing,
Tiupan bayu yang lembut,
Ku harap menyampaikan doaku mengiringimu,
Selamat Jalan duhai teman.

Lorong ku tempuhi gelap-gelita,
Kehadiranmu teranginya.

Ruang ku tempati sunyi sepi,
Kehadiranmu hingarkannya.

Jalan ku lalui tiada berpenghujung,
Kehadiranmu temukannya.

Semuanya hanya ku sedari sekali ini,
Pada saat perpisahan kita.

Kisah pertemuan kita yang singkat ini,
Mustahil dinukilkan dengan ungkapan,
Tiada kata dapat gambarkan gerangan perasaan.

Ada masanya aku berteman dengki,
Ada masanya aku berteman simpati,

Kini tiada lagi dengan sebab perpisahan,
Selamat Jalan duhai teman.

Peliknya,

Tidak sedar kekuatanku,
Hadir keranamu,
Kini diri terasa lemah,
Aku cuba untuk kuatkan diri.

Mungkin aku tidak memberi tanda,
Mungkin aku tidak meluahkannya,

Mungkin aku seolah tidak menghiraukan,
Mungkin dirimu bagaikan tiada,

Namun terpendam dalam hati ini,
Memori kita bersama,

Semoga ukhwah kita tersimpul rapi,
Kerana redha Illahi.

Tiada daya untukku menghalang,
Tempias hujan membias mentari,
Tiada upaya menggapai warna-warni pelangi.

Sekadar menatap hiasannya,
Dek beza jarak ia terasing,
Tiupan bayu yang lembut,

Ku harap menyampaikan doaku,
Harapan hati dalam Redha Illahi,

Sentiasa...

 


Menurut cerita Master, coretan ini mungkin mengambil masa yang paling lama untuk disiapkan, atau mungkin tak pernah siap. Kisahnya bermula pada suatu kursus pemerkasaan para mahasiswa Sains Komputer, hanya ada beberapa orang sahaja yang bakal graduate.

Salah seorang ialah Master dan teman sebiliknya. Tetapi pada suatu senja keluarga temannya ini hadir untuk menjemputnya kerana beliau mendapat peluang kerja di Kuantan.

Master telah ubahsuai coretan ini supaya kisahnya tidak ketara sangat, tapi itulah kisah sebenarnya. Apa-apa pun mungkin boleh rujuk kepada catatan Master mengenai coretan ini.

Pada saat terakhir akan meninggalkan bumi ilmu UTM Skudai, terasa bahawa diri ini akan kehilangan rakan-rakan yang memahami diri. Ucapan selamat jalan khas buat rakan-rakan, walaupun antagonisnya, diri ini yang melangkah meninggalkan mereka. Bait-bait ini menafikan bait-bait yang terakam dalam SUASANA.

Itu adalah versi asal yang Tedi tak kongsikan di sini. Versi itu menyediakan pembuka cerita kepada coretan bertajuk "Selamat Jalan" ini.

Seterusnya Master pergi berkursus di Kuala Lumpur sehingga tiba masanya beliau menjalani latihan praktikal di Motorola GTG di Bayan Baru di Pulau Pinang. Akhirnya "Selamat Jalan" dilengkapkan rangkap-rangkap terakhirnya. Ketika ini Master mula menukar tajuk coretan ini kepada "Selamat Tinggal", tetapi kemudian membiarkannya sahaja kerana selamat jalan pada hemat Master boleh digunakan sama ada kita meninggalkan atau ditinggalkan.

Selamat Jalan menggunakan hybrid rentak perlahan dan laju. Rujukan rentak: 1ka20s21k9-n0-k21ru13a

Selamat Jalan | 22 April 2005, 00:43:24 | Master of Tedi | UTM Skudai