ALOR SETAR: Kedah sedang menguji serang pemain pertahanan dari Korea Selatan, Kim Sung Hyun yang tiba di di Alor Setar pada 7 Disember lalu.

Kedah yang sebelum ini mengikat Akram Mahinan dari Johor Darul Takzim II (JDT II) dan Fitri Omar dari pasukan Pulau Pinang, kini menumpukan perhatian bagi pemilihan pemain bersesuaian untuk menggantikan Bang Seung Hwan di posisi pertahanan dan Shane Edward Smeltz di bahagian serangan.

gambar KIM Sung Hyun di Stadium Mini Peremba
KIM Sung Hyun hadir pada latihan pertama di Stadium Mini Peremba. - Foto ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)

Setakat ini, pemain import bahagian tengah iaitu Sandro Da Silva dari Brazil dan Liridon Krasniqi dari Kosovo terus kekal bersama Kedah untuk musim 2017.

Maklumat dari media FB Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), pemain berkenaan diuji untuk mengisi kekosongan posisi pertahanan Bang Swung Hwan yang dikhabarkan tidak dilanjutkan kontrak untuk musim depan.

Kelibat pemain import berusia 23 yang sebelum ini beraksi untuk Suwon FC di Liga Korea ini dapat dilihat kali pertama pada sesi latihan pasukan Kedah di Padang Sintetik Peremba, Alor Setar pada petang 8 Disember lalu.

Sesi ujian itu dikendalikan jurulatih kecergasan Kedah, Stefano Impagliazzo dari Brazil sebelum mengemukakan syor kepada pihak pengurusan mengenai tahap kecergasan sebenar pemain berkenaan.

Difahamkan Kim Seong Hyun juga bakal diuji dalam satu perlawanan persahabatan Pra-Musim 2017 Kedah menentang Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada 13 Disember ini di Stadium Darul Aman.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar selasa lalu mengesahkan enam pemain sudah tamat kontrak musim 2016 membabitkan Mohd Rizal Ghazali, Mohd Syazwan Zainon, Liridon Krasniqi, Mohd Ifwat Akmal, Abdul Hadi dan Mohd Raphi Azizan.

Sementara itu bagi majoriti pemain muda Kedah yang beraksi pada musim ini masih mempunyai kontrak dan akan terus bersama memperkuatkan pasukan pada musim depan.

Oleh Izzali Ismail
bhsukan@bh.com.my Dec 9, 2016 20161209