Berita baik untuk para penggemar kasut Asics terutamanya kasut Asics Gel kerana syarikat pengeluar kasut jenama ASICS telah memutuskan untuk memperkenalkan kembali kasut Asics Gel-DS Trainer sebagai salah satu koleksi kasut Asics terbaru.

Kasut larian klasik dengan teknologi moden

Kasut klasik Asics Gel-DS Trainer ini mula diperkenalkan pada tahun 1995. Kasut Asics Gel-DS Trainer terkenal dengan keringanannya dan rekabentuknya yang membolehkan ia sesuai untuk semua jenis pelari.

Untuk pelari tau, bukannya untuk bermain badminton, maklumlah sebelum ni Tedi banyak fokus kepada kasut badminton Asics seperti kiriman Tedi yang bertajuk Novak Djokovic pakai kasut ASICS, Panduan Pilih Kasut Badminton ASICS, dan Kasut Badminton Asics GEL-Rocket 7. Bila baca balik semua kiriman tu rasa tak sangka pula Tedi macam taksub dengan kasut Asics ni. Bukannya apa, Tedi tengok ramai pemain amatur yang handal pakai kasut ni dan tak macam kita yang asyik-asyik Yonex atau Li-Ning. Bukannya tak suka jenama tu tapi kalau dah jenama yang terkenal, mahalnya pada jenamanya saja. Jadi kita cuba cari alternatif mana tahu boleh dapat kualiti sama pada harga lebih murah.

Eh melalut pula Tedi ni... hehe... tadi cerita pasal kasut larian Asics Gel-DS Trainer kan?

Pandangan kasut Asics Gel-DS Trainer tahun 2018 dari kiri. Menggunakan tema warna putih dan kelabu, tema warna yang Tedi tak suka, macam kasut sekolah pula.
Gambar kasut Asics Gel-DS Trainer keluaran 2018 daripada atas.

Kasut Asics Gel-DS Trainer ini akan kembali dengan motif warna putih dan kelabu, diperbuat daripada kulit dan suede (kulit yang nampak macam kain baldu tu Tedi tak tahu apa nama Melayunya).

Tapak kasut Asics Gel-DS Trainer ini berwarna putih dan menggunakan teknologi DUOSOLE.

Tapak kasut Asics Gel-DS Trainer 2018 ni agak ringkas, sesuai untuk berlari dan juga senaman. Tedi agak berpuas hati kerana ia nampak boleh mencengkam, walaupun tak sekuat kasut larian trail. Tapi tapak kasut warna putih? Lagi sekali Tedi tak suka.

Asics akan menggunakan teknologi kusyen GEL Cushioning System pada kasut Asics Gel-DS Trainer ini sebagai memenuhi kehendak zaman moden.

Apakah itu teknologi DUOSOLE?

Tekonologi DUOSOLE adalah satu teknologi yang digunakan pada tapak kasut luar Asics untuk ringankan kasut dan tingkatkan keanjalan kasut Asics, tetapi pada masa yang sama kekalkan cengkaman dan ketahanan tapak kasut.

Apakah itu teknologi GEL Cushioning System?

Teknologi GEL Cushioning System adalah teknologi legenda yang telah dipatenkan yang digunakan pada kusyen kasut Asics untuk kurangkan kejutan semasa impak larian dan membolehkan peralihan yang lancar pada hujung jari.

Komen Tedi pasal kasut Asics Gel-DS Trainer edisi 2018?

Erm... kalau nak beli sebagai pelari tegar, Tedi tak sukakan kemasan suede tu sebab nampak macam akan jadi comot pada suatu masa nanti.

Kalau sebagai kasut untuk pakai seharian pula, Tedi tak suka tapak kasut putih.

Tapi kalau dari segi teknologi tu, Tedi teruja nak cuba setakat mana legendanya sistem Gel Cushioning System oleh Asics tu? Kalau para pelari kata legenda dan ia pula dipatenkan, tentunya ia mempunyai udang di sebalik batu.... kan?

Tentang tema warnanya pula, apa kejadahnya guna warna putih dan kelabu?

Sekian, terima kasih.