Alor Setar: Pemain dan pegawai skuad bola sepak Kedah yang menjuarai Liga Perdana baru-baru ini menerima imbuhan sebanyak RM10,000 setiap seorang dan pakej mengerjakan umrah untuk yang beragama Islam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, imbuhan itu diberikan kepada setiap pemain dan pegawai yang bertungkus lumus memastikan Kedah juara sehingga layak ke Liga Super musim depan dan Piala Malaysia dalam masa terdekat.

gambar pasukan Kedah FA dibawa berarak menaiki bas sempena menjuarai Liga Perdana 2015

Menurutnya, setiap pemain dan pegawai akan menerima bonus sebanyak RM10,000 setiap seorang berserta pakej umrah bagi beragama Islam."Bagi mereka yang bukan beragama Islam akan menerima wang tunai setaraf dengan pakej umrah.

"Saya berharap pasukan bola sepak Kedah akan berusaha lebih pada cabaran Liga Super musim depan dan mampu layak ke peringkat akhir Piala Malaysia tahun ini," katanya ketika berucap selepas menyaksikan perlawanan akhir Liga Bawah 19 tahun bagi merebut Piala Menteri Besar antara pasukan Baling melawan Lang Muda, tadi.

Mukhriz berkata, pada tahun lalu Kedah layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan berdasarkan prestasi pemain, Kedah mensasarkan layak hingga ke peringkat akhir dan bergelar juara.

"Saya berharap pasukan akan berusaha lebih keras pada cabaran Liga Super musim depan," katanya.

Sebelum itu, skuad bola sepak Kedah turut berarak dengan bas diiringi kira-kira 2,000 motosikal bermula 7.45 malam tadi di sekitar Bandaraya Alor Setar dengan membawa Piala Liga Perdana bagi meraikan kemenangan mereka.

Pemain diarak bermula di Wisma Darulaman melalui Muzium Negeri, Menara Alor Setar, Balai Seni, Pekan Rabu Lama, Bulatan Kota, Bulatan Telok Wanjah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum berakhir di Stadium Darulaman.

Piala Liga Perdana tiba di Stadium Darulaman jam 8.30 malam sebelum semua pemain serta pengurusan pasukan Lang Merahdibawa menaiki pacuan empat roda untuk mengelilingi stadium.

Perarakan itu berakhir dengan penyerahan Piala Liga Perdana itu kepada Mukhriz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 10:54 PM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my