Sesiapa yang tidak suka aktif dalam pasaran saham tapi masih nak melabur dalam pasaran saham, boleh melabur dalam amanah saham. Teorinya tetap sama iaitu beli semasa harga murah, tetapi kita tak perlu pening bila nak jual atau bila nak beli. Tapi masih kita boleh tunggu harga seunit amanah saham rendah untuk dapat lebih banyak keuntungan.

Salah satu tempoh pasaran saham merudum ialah ketika wabak Covid-19 melanda Malaysia.


KUALA LUMPUR: Penurunan ketara pasaran saham tempatan susulan kesan penularan COVID-19 membuka peluang kepada firma unit amanah memperkemaskan portfolio pelaburan masing-masing, kata pengendali pelaburan dana amanah.

Ia sekali gus membolehkan firma unit amanah berada dalam kedudukan baik untuk memberi pulangan lebih tinggi bagi tempoh selanjutnya dan sekarang masa dianggap sesuai unit melabur dalam unit amanah.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment Management Bhd (BIMB Investment), Najmuddin Mohd Lutfi, berkata ini kerana kejatuhan pasaran membuka peluang untuk pelabur melabur kerana harga unit amanah juga ketika ini adalah rendah.

"Waktu yang tepat untuk melabur dalam dana unit amanah ketika ini kerana harga jatuh, boleh labur pada harga murah. Dalam pelaburan, kita perlu bijak mencari masa yang tepat.

"Beli masa jualan rendah dan jual semula ketika harga tinggi. Perlu rebut peluang ini dalam pelaburan walaupun sedikit.

"Harga jatuh ke tahap rendah adalah ketika permulaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lalu. Ketika itu harga memang murah dan paling tepat untuk pelaburan," katanya pada temu bual bersama BH, baru-baru ini.

Najmuddin berkata, walaupun ketika ini pasaran kembali menarik dan meningkat, ia masih tempoh yang sesuai untuk melabur.

Beliau berkata, pasaran akan kembali meningkat jika COVID-19 semakin menunjukkan penurunan kes pada peringkat global.

Katanya, pelabur unit amanah juga tidak perlu risau mengenai turun naik pasaran kerana pengurus dana seperti pihaknya sentiasa meletakkan dana di sektor yang bertepatan.

"Kami melabur dalam pasaran saham berdasarkan syarikat yang tersenarai. Lantaran itu kami mampu memberikan pulangan kepada pelabur.

"Ketika ini kebanyakan mula memberi fokus kepada sektor berkaitan kesihatan, teknologi, produk sarung tangan getah dan pengguna.

"Sektor berkenaan memberi kelebihan kepada rantaian bekalan ketika tempoh sukar ini. Pelaburan untuk post COVID-19 pula lebih kepada sektor yang mempunyai dagangan pada nilai yang menarik dan berjangka panjang seperti logistik," katanya.

Najmuddin berkata, pelabur juga tidak perlu khuatir jika tiada ilmu pelaburan yang betul kerana BIMB Investment memperkenalkan aplikasi mudah pelaburan dana unit amanah dikenali sebagai BEST Invest (BEST Invest), platform Pelaburan Lestari Robo-Pintar Shariah-ESG yang pertama olehnya.

Aplikasi daripada BIMB Investment yang juga anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Bhd itu menyediakan kemudahan yang cekap bagi individu untuk membina kekayaan.

Aplikasi BEST Invest menawarkan struktur yang sistematik, telus dan tersusun untuk pembinaan kekayaan individu melalui pelaburan dalam aplikasi Robo-Pintar dan teknologi data besar.

BEST Invest menawarkan pelbagai dana unit amanah Shariah-ESG yang diuruskan BIMB Investment, merentasi kelas aset termasuk dana ekuiti Shariah-ESG global, Asia Pasifik dan Malaysia, Sukuk ESG global dan pasaran wang.

Berdasarkan matlamat dan tahap toleransi terhadap risiko pelaburan oleh pelabur, aplikasi ini mampu membantu pelabur membina portfolio pelaburan yang optimum, berpandukan data dan analisa secara digital.

"BEST Invest akan lebih memberikan tumpuan kepada dana pelaburan Shariah-ESG mapan diuruskan BIMB Investment yang menjadi ahli tunggal pengurus aset Islamik yang didukung sepenuhnya institusi kewangan Islam di Malaysia dan Asia Tenggara di bawah Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI).

"Setakat ini, kami menguruskan lebih RM1 bilion aset pelaburan ESG. Dana Ekuiti Shariah-ESG Global kami pada masa ini adalah dana yang mencatatkan prestasi pelaburan terbaik dalam tempoh tiga tahun dengan potensi memberikan pulangan pelaburan jangka panjang terbaik.

"Ia juga dana ekuiti syariah global terbesar di Malaysia dan ketiga di dunia," katanya.

Najmuddin berkata, BIMB Investment merancang untuk menambah lebih banyak dana Shariah-ESG dalam aplikasi BEST Invest pada masa yang terdekat.


Diterbitkan di Berita Harian Online dengan tajuk "Masa sesuai beli saham amanah" pada Selasa, 19 Mei 2020 jam 11:27 pagi dan disediakan oleh Alzahrin Alias.