Pagi ini seorang pakcik datang untuk memeriksa peti sejuk inverter berjenama Hitachi di rumah kami.

Peti sejuk itu mula membuat masalah pada hari Sabtu dan Ahad lepas di mana ia berbunyi bising dan akhirnya peti bahagian bawah mula kurang sejuk.

Peti sejuk kami adalah berjenama Hitachi dan menggunakan teknologi inverter. Ia mempunyai 3 pintu iaitu 1 di atas untuk sejuk beku, dan 2 di bawah untuk ruangan sejuk biasa. Walaupun ada 3 pintu sebenarnya ia cuma ada 2 ruang sahaja iaitu atas dan bawah dan tidak dibahagikan kri dan kanan.

Masalah ini perlu dibaiki segera sebab Mummy simpan bekalan susu badan di ruangan sejuk beku tersebut.

Mummy telah membuat laporan kepada Pusat Khidmat Pelanggan Hitachi namun hasilnya agak hampas kerana tiada panggilan balasan daripada pusat tersebut, sehingga Mummy mendapatkan khidmat pakcik tersebut untuk memeriksa peti sejuk Hitachi tersebut.

Hasil pemeriksaan pakcik itu mendapati peti sejuk Hitachi inverter kami tu gagal defrost (nyahbeku) menyebabkan ada ais yang menghalang kipas yang membekalkan angin sejuk dari berpusing. Persoalannya ialah kenapa peti sejuk tersebut gagal nyahbeku?

Salah satu teorinya adalah kegagalan sensor (penderia) suhu untuk berfungsi, mungkin menyebabkan peti sejuk Hitachi tersebut tiada idea bila nak mula nyahbeku.

Setelah pakcik tu mencairkan semua air batu yang ada di kawasan kipas tersebut, dia mula uji peti sejuk tersebut dan peti sejuk itu berfungsi dengan baik. Pakcik tu kata biarkan sahaja sebegitu buat masa ini dan tunggu sehingga 3 hingga 7 hari untuk mencubanya. Jika ada masalah, kami boleh hubungi beliau semula.

Upah yang dikenakan kepada kami ialah MYR 70 (tujuh puluh Ringgit Malaysia). 

Sebaik sahaja pakcik itu beredar, Master mengambil keputusan untuk pergi kerja dan hanya ambil cuti separuh hari, manakala Mummy ambil cuti sehari.


 Defrost dalam Bahasa Melayu

Mungkin kawan-kawan perasan bahawa Tedi gunakan istilah nyahbeku untuk perkataan defrost dalam karangan Tedi di atas. Sebenarnya istilah itu adalah rekaan Tedi sahaja. Maksud perkataan defrost daripada Kamus Bahasa Inggeris Dewan adalah seperti di bawah:

Erm, rasanya Tedi lebih suka gunakan istilah nyahbeku rekaan Tedi tu, hahahahaha. Perkataan menyahfroskan atau mencairbekukan tampak agak panjang. Mungkin pihak Dewan Bahasa dan Pustaka boleh pertimbangkan untuk gantikan dengan perkataan lebih pendek seperti: nyahfros, cairbeku, dan nyahbeku.

Jika diikutkan, perkataan mencairkan pun dah mencukupi kerana ia menjelaskan perbuatan menukar benda pepejal kepada cecair. Tetapi untuk menjelaskan sesuatu perbuatan ia perlukan subjek di belakangnya seperti mencairkan air batu.

Kamus Bahasa Inggeris

defrost

Definisi : vt 1. remove frost, ice from, menyahfroskan; 2. unfreeze (food) mencairbekukan: to ~ meat, mencairbekukan daging. (Kamus Inggeris-Melayu Dewan)


20200113