Ini adalah catatan perjalanan umum yang Master alami semasa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan ke Kuala Lumpur.

Di Kota Bharu, Master naiki bas di Terminal Bas Lembah Sireh yang lebih dikenali sebagai Terminal Bas Tesco. Selalu orang sebut naik di TESCO. Ini untuk membezakan stesen ini dengan Stesen Bas Kota Bharu yang terletak dalam bandar dan ada perkhidmatan bas jarak dekat.

Untuk ke Kerinchi, kita kena naiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan dan lebih terkenal dengan akronim TBS.

Ada banyak bas ke TBS ni tapi bas yang Master pilih adalah bas yang akan berhenti di Hentian Rehat Gua Musang yang baru. Antara bas yang Master perasan berhenti di sana ialah bas Ekspress Musafir, Ekspress Mutiara, Queen Express, dan Ekspress Sani.

Master lebih suka naik bas jam 9 malam atau 9:30 malam. Jangkaan tiba di Hentian Rehat Gua Musang ialah sekitar jam 1 pagi, dan tiba di TBS ialah jam 5 pagi.

Setelah tiba di TBS bolehlah mencari tandas untuk gosok gigi dan cari surau untuk solat Subuh. Kalau betul-betul berhajat untuk ke tandas perlu bersegera sebaik sahaja turun bas kerana nanti akan ramai orang yang beratur untuk menggunakan tandas.

Dari TBS ke Kerinchi kita boleh gunakan pelbagai jenis pengangkutan. Dua jenis pengangkutan yang Master pernah naik ialah LRT dan Komuter.

Master lebih suka naik Komuter ke KL Sentral dan kemudian naik LRT dari KL Sentral ke Kerinchi, tetapi wajib tunggu Komuter sebelum jam 6:30 pagi. Ini adalah kerana jarak di antara satu Komuter ke Komuter berikutnya agak lama jadi jika terlepas memang jenuh menunggu. Kelebihan naik Komuter ke KL Sentral dari Bandar Tasik Selatan ialah tambang murah dan hanya makan masa 12 minit.

Tambang Komuter dari Bandar Tasik Selatan atau TBS ke KL Sentral ialah RM 2:10 tanpa diskaun. Ada diskaun yang ditawarkan KTMB tapi Tedi tiada pengetahuan mengenainya.

Jika naik LRT pula kita kena tukar LRT di Masjid Jamek, dan masa perjalanan pula dekat sejam kerana banyak stesen. Kelebihan naik LRT ialah jarak di antara tren tidak lama.

Jadi jika dapat set masa yang betul kita dapat jimatkan masa dengan naiki Komuter. Tren terawal Master jumpa ialah 6:38 pagi di TBS tetapi tak boleh diikut sangat sebab kadangkala ia awal dan kadangkala lewat. Jadi memang kena sasarkan masa 6:30 pagi tunggu Komuter.

Dari KL Sentral nak ke Kerinchi pula sila naik ke Platform 2, tapi kalau dah salah naik boleh turun di Pasar Seni, cuma kena beraturlah jika ramai orang.

Dari Stesen LRT Kerinchi kita boleh naik jejantas ke Kampung Kerinchi yang sebelum ini dinamakan Bangsar South.

Selain itu beberapa tempat menarik di sekitar Stesen LRT Kerinchi ialah Menara TM dan Hotel Pullman Bangsar.