Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melantik bekas Ketua Jurulatih Home United, Singapura, Aidil Sharin Sahak sebagai pengendali baharu skuad Helang Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya kini dalam peringkat rundingan terakhir sebelum mengikat kontrak dengan Aidil Sharin.

gambar jurulatih Kedah FA untuk tahun 2019 - Aidil Sharin

Katanya, KFA juga mengumumkan bekas Ketua Jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong jurulatih.

“KFA menaruh keyakinan gandingan Aidil Sharin dan Victor Andrag dapat mengembalikan kegemilangan skuad Helang Merah pada musim depan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Majlis Eksekutif KFA di Alor Setar semalam.

Kedah yang gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia musim ini menggunakan tiga jurulatih bermula dengan Ramon Marcote, Mohd. Nidzam Adzha Yusof dan Azzmi Abd. Aziz.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, KFA menyerahkan tanggungjawab kepada ketua jurulatih yang baharu itu untuk memilih barisan pemain termasuk pemain import.

“Pada masa ini, seramai lima pemain tempatan masih mempunyai kontrak bersama pasukan Kedah sehingga hujung musim depan.

“Sementara itu, kontrak pemain lain termasuk lima pemain import akan tamat pada penghujung musim ini,” katanya.

Zaid Mohd Nor
kosmo.com.my