Maksud peribahasa tiada rotan akar pun berguna

  1. Maksud peribahasa: Kalau tiada yang baik, maka yang kurang baik pun boleh juga.
  2. Versi lain bagi peribahasa ini ialah "tiada rotan, akar pun jadi".
  3. Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Komentar

  1. Peribahasa ini pertama kali Tedi sebut dalam travelog Pulau Mabul, Sabah hari 1 yang menyelitkan gambar aktiviti seorang budak Bajau Laut di Sipadan yang menggunakan besin sebagai sampannya.
  2. Kawan-kawan pun pasti tahu maksud peribahasa Tiada rotan, akar pun berguna tersebut.
  3. Secara ringkas ia bermaksud jika tiada alat atau benda yang paling diingini atau paling sesuai untuk melakukan sesuatu, peralatan lain yang kurang bagus pun cukuplah untuk laksanakan tugasan tersebut.

 

Kenapa rotan lebih baik berbanding akar?

Tentu kawan-kawan juga pernah terfikir sedemikian? Kenapa peribahasa tiada rotan, akar pun berguna ini mengatakan rotan lebih baik berbanding akar?

Tentunya kenyataan ini datang daripada satu keadaan atau perspektif di mana rotan adalah lebih bagus kehadirannya pada ketika itu.

gambar rotan
Gambar longgokan rotan

 

Persamaan rotan dan akar

Apa yang Tedi nak sebut pada malam ini adalah mengenai kaitan antara rotan dan akar.

Ini kerana apabila kita membandingkan sesuatu kita perlu ada satu ukuran. Jadi kita perlu fikirkan pada keadaan manakah rotan dan akar menawarkan tugas atau fungsi yang sama?

Rotan, mungkin ramai yang terlintas dalam fikiran ia digunakan untuk dibuat perabot dan juga untuk merotan.

Rotan yang halus pula selalunya digunakan untuk mengikat barangan.

Rotan terkenal dengan sifat lentur tetapi pada masa yang sama ia sangat liat. Keliatannya itu menyebabkan ia sangat tahan digunakan sebagai pengikat. Mungkin sebab itu rotan juga disebut dalam pepatah "kerat rotan, patah arang" yang memberi maksud pergaduhan atau permusuhan yang sangat hebat yang tidak dapat didamaikan lagi seperti di antara Ultraman dan raksasa Gorgon.

Juga dalam peribahasa "berpatah arang berkerat rotan" yang bermaksud memutuskan tali persahabatan atau persaudaraan.

Itulah perkaitan yang dapat Tedi fikirkan di antara rotan dan akar.

Akar yang besar tentunya tidak dapat digunakan sebagai pengikat kerana kekerasannnya. Tetapi akar-akar kecil yang halus yang jatuh bergantungan dari atas pokok pula boleh juga digunakan sebagai pengikat.

Sudah tentulah fungsi akar halus sebagai pengikat tidak sebagus seperti menggunakan rotan, tetapi apabila keadaan mendesak, cukuplah kehadirannya melengkapkan dan mencapai tujuan yang sama.

 


Diterbitkan pada 20180613, karangan ini menyentuh tentang maksud peribahasa tiada rotan, akar pun berguna dan cuba menghuraikan bagaimana peribahasa itu terhasil. Turut diselitkan maksud peribahasa kerat rotan, patah arang dan berpatah arang berkerat rotan.