Tedi bersetuju dengan pendapat Misbun Sidek yang realistik dan juga optimistik.

Misbun Sidek mahu anak didiknya untuk berpijak di bumi nyata berkenaan faktor usia yang selalu menjadi penamat kerjaya seorang ahli sukan, namun pada masa yang sama Misbun Sidek tidak pula membunuh peluang anak didiknya untuk mencapai kejayaan.

Tedi juga kecewa dengan ketirisan pelapis untuk menggantikan Lee Chong Wei dan juga penurunan prestasi Lee Chong Wei, tetapi beliau sahaja pemain terbaik kita ada dan kita harus terus menyokong beliau sehingga akhir kariernya.


Lee Chong Wei sedang berbincang dengan jurulatihnya Misbun Sidek

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dinasihatkan supaya tidak terlalu memikirkan mengenai pandangan orang di sekelilingnya jika mahu terus kekal beraksi pada tahap tertinggi biarpun akan mencecah usia 35 tahun minggu depan.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berkata, faktor orang di sekeliling pemain nombor tujuh dunia itu membuatkan dia terlalu berfikiran negatif.

"Kadang-kadang rakan dan orang di sekelilingnya membuatkan dia terlalu berfikiran negatif. Ia akan membawa kepada kemusnahan kepada cara dia bermain."
"Dia perlu terima hakikat usia semakin meningkat. Jika dia terima hakikat itu, saya yakin dia boleh bermain badminton dengan baik di tahap tertinggi," kata Misbun ketika ditemui meraikan Hari Sukan Negara anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.

BAM mengadakan klinik badminton kepada 40 orang anak yatim daripada Rumah Kesayangan Petaling Jaya dan Stepping Stone Living Centre Taman Seputeh.

Mereka mendapat peluang bermain badminton bersama pemain negara termasuk Chong Wei, Tan Wee Kiong, Goh Liu Ying serta Vivian Hoo. Chong Wei bersama pemain negara akan berlepas ke Odense malam ini bagi menghadapi saingan Terbuka Denmak bermula, Selasa ini.

Selepas sekadar muncul naib juara Terbuka Jepun bulan lalu, Chong Wei mahu menebus kekecewaan itu di Terbuka Denmark selain ia akan menjadi hadiah ulang tahun kelahiran ke-35 yang disambut pada 21 Oktober ini.

"Persiapan Chong Wei berjalan baik. Dalam tempoh dua minggu ini dia bekerja keras bagi meningkatkan taktikal permainannya. Jadi saya harap dia boleh beraksi pada tahap terbaik dalam kejohanan itu nanti," kata Misbun.

Selepas Terbuka Denmark, Chong Wei akan beraksi pada Terbuka Perancis.

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2017/10/337403/chong-wei-tak-boleh-fikir-negatif 

Karangan : Helmi Talkah (helmi.talkah@bh.com.my)