بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


 

10-September, Sabtu : Hari ini menjadi satu titik sejarah apabila Master telah berjaya menyertai dan menamatkan larian half marathon pertama beliau.

Rakaman sejarah ini dicatatkan melalui penyertaan beliau dalam perlumbaan IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017, kali ini melalui siri kedua iaitu NPE Highway Challenge dengan jarak 21 kilometer.

Kami bergerak dari rumah pada jam 3.30 pagi, singgah di Taman Seri Bangi untuk menjemput kawan Master di sana. Kami bertolak dari Bangi pada jam 4.00 pagi dan sampai di tempat letak kereta Sunway Piramid pada jam lebih kurang 4.30 pagi.

 

Perlumbaan Half Marathon Bermula

Perlumbaan bermula di Lebuhraya NPE di hadapan Sunway Piramid pada jam 5.30 pagi.

Master mengambil kedudukan di barisan paling belakang untuk elakkan kesesakan. Kebiasaannya para pelumba yang laju gila akan duduk di bahagian hadapan untuk elakkan kesesakan, manakala bagi pelumba yang tidak berapa laju seperti Master akan duduk di belakang untuk dapatkan sedikit kelapangan semasa permulaan perlumbaan.

Ini adalah kerana apabila lambat Master bermula, maka catatan masa Master pun bermula lewat kerana Master belum melewati tikar elektronik yang akan mencatat masa permulaan pelumba.

 

Subuh Beralaskan Simen

Azan Subuh berkumandang setelah Master berlari dalam jarak 2 ke 3 kilometer, dan Master berhenti di plaza tol untuk menunaikan solat Subuh. Mujur benar Master telah mengambil wudhu siap-siap sebelum bertolak dari rumah sekaligus mencatat rekod wudhu paling awal Master ambil untuk Solat Subuh iaitu 2 ke 3 jam sebelum.

Surau penuh. Tiada apa boleh diharapkan kerana surau plaza tol itu kecil sahaja, jadi ramai pelumba menunaikan solat di merata kawasan di sekitar plaza tol tersebut dengan hanya beralaskan simen. Mujur hujan telah turun sebelum itu sekaligus menyucikan tanah untuk mereka jadikan hamparan menunaikan solat Subuh.

Sepatutnya pihak penganjur (IJM dan NPE) sediakan khemah dengan hamparan kanvas pun cukuplah untuk kemudahan para peserta menunaikan solat Subuh.

Ada pelumba yang membawa sejadah untuk travel dan terus mewakafkannya kepada pelumba yang lain.

Satu keadaan yang amat menarik untuk disaksikan adalah para pelari muslimah yang bersolat memakai baju larian mereka, dan ada juga yang sarungkan telekung di bahagian atas sahaja.

Perlumbaan tidak dihentikan semasa peserta berhenti menunaikan solat Subuh, jadi catatan masa adalah termasuk aktiviti solat Subuh tersebut, mungkin tidak adil tapi tak jadi hal besar kepada pelumba. Kalau dah rezeki untuk menang maka Allah akan takdirkan kita menang kan? Lagipun itu adalah satu bentuk urusniaga dengan Allah yang tentunya menjamin keuntungan kepada si peniaga walaupun mungkin tidak terasa di dunia ini.

Gambar plaza tol Pantai Dalam di NPE semasa NPE Highway Challenge
Gambar suasana larian semasa menghampiri Plaza Tol Pantai Dalam.

Pace Master semasa menunaikan solat Subuh mencecah 13 minit.

Mr Farzie 7 Kilometer di hadapan!

Usai menunaikan solat Subuh Master memecut laju memintas Mr Zaidi, sebelum pada kilometer ke-7 Master mendapati Mr Farzie telah membuat pusingan-U dan berada jauh di hadapan Master. Kemungkinan jarak Master ditinggalkan pada masa itu adalah di antara 6 ke 7 kilometer kerana jarak Master ke tempat u-turn adalah lebih kurang 3 kilometer.

Melihatkan uncle Farzie sudah jauh di hadapan, langkah Master mula terganggu, Master mula nak memecut sekaligus mengganggu kadar pernafasan beliau. Tetapi akhirnya Master menyedarkan dirinya untuk kembali kepada strategi asal.

Taktik Master pada 10 kilometer pertama adalah untuk kekalkan pace pada masa 8-minit per kilometer jadi hal itu tidak mendesak Master untuk mengejar. Bayangkan untuk cecah 21 kilometer dari kilometer ke-7 memerlukan larian sejauh 14 kilometer, masih banyak tenaga yang Master perlu simpan untuk jarak sejauh itu. Lagipun perlumbaan half marathon ini adalah medan untuk Master mencabar diri sendiri dan bukannya untuk bersaing dengan orang lain.

Master kekal berada di atas garisan putih lebuhraya untuk kurangkan daya geseran kerana kasut larian Brook Ghost 7 milik Master adalah kasut larian hybrid untuk denai (trail) dan tidak berapa sesuai digunakan di atas jalan raya.

 

Memintas Aunty Hukiza

Pada kilometer ke-8 atau ke-9, Master telah berjaya menemui kawan Mummy iaitu Aunty Hukiza. Master tegur beliau dan terus meninggalkannya dengan sedikit rasa angkuh. Tidak lama selepas itu Master telah kehilangan rentak beliau kerana kakinya mula terasa berat, jadi Master cuba mencari sasaran untuk diikuti. Sasaran Master yang pertama adalah pelari dengan baju X-Semesta Runner yang jika tidak silap Master adalah nama sebuah sekolah yang popular di Malaysia.

Pada kilometer ke-10, Master telah berjaya membuat pusingan-U, dan sampai di sekitar stesen minyak Petronas, Master berjaya memintas Mr Rado yang menjadi pace setter bagi klik Master. Master meneruskan larian dengan rentak yang semakin kelam-kabut dan penyesalan di minda. Bayangkan ketika itu rasa macam dah lari jauh tapi rupa-rupanya tak sampai 1 kilometer pun. Master sudah banyak berjalan pada masa itu.

 

Hampir Tergelincir Terpijak Kulit Pisang

Selepas itu Master sampai di satu stesen minuman (water station) yang turut menyediakan pisang sebagai bekalan tenaga kepada para pelari, tapi ketika Master melepasinya sudah tidak kelihatan sebiji pisang pun, yang ada hanya kulit-kulit pisang yang berterabur di atas jalan. Ada satu ketika Master hampir tergelincir kerana terpijak kulit pisang yang bertaburan tersebut.

Memandangkan Master sudah tidak larat berlari tapi Master tak mahu terus leka dibuai mimpi dengan banyak berjalan, Master mensasarkan beberapa pelumba yang berada di hadapan Master dengan rentak langkah yang tidak terlalu laju untuk dikejar dan dipintas. Setiap kali selepas Master memintas pelumba sasaran beliau, Master akan berhenti untuk berjalan semula. Hal ini membolehkan Master mengekalkan pace 8-minit per kilometer. Strategi ini digunakan kerana Master tampak lebih selesa untuk memecut pada jarak dekat, berehat, dan pecut semula berbanding terus berlari secara konsisten.

Ketika ini tampak seolah-olah Master saling berlumba dengan beberapa peserta perlumbaan half marathon NPE Highway Challenge 2017 tersebut.

Hujan mula turun membasahi bumi sekaligus membasahi juga para peserta NPE Highway Challenge 21KM 2017. Master mula berasa segar dan kali ini Master berasa satu kelebihan kepada beliau kerana kasut Master adalah kasut hybrid trail, maka ia mempunyai lebih banyak geseran walaupun pada jalan licin.

 

Escort

Ketika tiba di kilometer ke-18 di mana Master sudah berjalan, tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi muzik kuat dari kejauhan di belakang Master. Master bersiap sedia untuk berlari kerana Master secara tabiatnya memang suka follow pelumba yang pasang muzik kuat kerana ia akan membuka jalan buat Master. Secara metaforanya ia umpama kenderaan yang diiringi polis trafik dalam kesesakan jalan raya.

Alhamdulillah, pelumba yang memakai jersi putih dan memasang muzik kuat itu tidak menggunakan pace yang terlalu laju, jadi Master boleh mengekorinya untuk satu jarak yang agak lama sehingga ke jarak 2 kilometer terakhir.

Jarak 2 kilometer terakhir menjadi sasaran Master untuk memintas seberapa ramai pelumba, kerana dalam perlumbaan jarak jauh seperti NPE Highway Challenge berjarak 21 kilometer ini, tempoh 1 saat mungkin memisahkan anda dengan berpuluh-puluh pelumba, jika nasib baik boleh cecah ratus. Bilangan seperti itu sudah cukup untuk membolehkan kita berlagak dengan kawan-kawan jika kita di hadapan mereka... hehehe.

 

Kejutan di Kilometer Terakhir

Ironinya Master sudah tidak memiliki kudrat yang diperlukan untuk berlari sejauh 2 kilometer maka Master memilih untuk hanya memecut pada kilometer terakhir, di mana satu kejutan bakal menanti Master.

Kilometer terakhir telah tiba, Master memulakan langkahnya hanya untuk mendapati beberapa ratus meter sebelum garisan penamat, beliau perlu menuruni bukit sebelum mendaki semula. Hal itu menyebabkan Master hampir-hampir mengalami kekejangan otot sekaligus memaksa Master untuk berjalan sahaja semasa mendaki.

Kurang seratus meter sebelum sampai di garisan penamat, Master memecut sehabis baik tatkala peserta lain sudah tidak berlari lagi, membolehkan Master memintas ramai peserta.

Masa catatan tidak rasmi Master pada perlumaan NPE Highway Challenge adalah 3 jam 10 minit 9 saat dengan pace 7 minit 58 saat per kilometer. Jangkaan pembakaran kalori adalah 2026.

Manakala masa catatan rasmi Master pada larian half marathon NPE Highway Challenge adalah 3 jam 12 minit dengan pace 9 minit per kilometer.

Selepas sampai Master terus ambil t-shirt finisher, ambil bijirin Nestle Fitnesse kalau tidak silap nama untuk dimakan, dan ambil Milo sejuk untuk diminum. Ketika minum Milo tu Master terasa seolah-olah lelangit dan tekak beliau cedera mungkin kerana terkejut dari suhu panas terus disejukkan dengan Milo sejuk.

 

Penutup

Pengalaman menyertai NPE Highway Challenge ini memang sesuatu yang menarik, dan patut diteruskan pada masa akan datang.

 


~20170910~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih