Pada petang Ahad, 9 April yang lalu, semasa Tedi temani Master ke TESCO Bandar Baru Nilai, Master telah mengalami kesakitan kepala yang dahsyat. Sebenarnya dari semalam Master sudah sakit kepala tapi dia berjaya menahannya, cuma dia banyak melepek tidurlah.

Gambar kucing kelakar sendawa

Kali itu Master semakin teruk sakit kepalanya sehingga dia bergegas ke tandas sebanyak tiga kali kerana muntah-muntah.

Master turut sendawa dan katanya sendawanya itu berperisakan asap. Pelik bebenar, apakah ada makanan yang Master makan berasaskan asap? Atau adakah seekor jin dalam badan Master yang makan asap sehingga menjejaskan Master?

Ini adalah kali kedua dalam 3 minggu Master mengalami sakit kepala.

Kali yang pertama adalah semasa kami menjemput Aina di Ipoh. Master menahan sakit kepalanya itu sehinggalah ke Sungai Besar di mana dia muntah-muntah di tandas masjid ketika waktu Maghrib.

Disebabkan tidak dapat bertahan lagi Master akhirnya menelan dua biji panadol sebab dia perlu memandu dari Sungai Besar ke Sepang. Alhamdulillah, selepas tidur sebentar, Master kembali pulih.

Peliknya, sendawa Master pada masa itu juga berperisakan asap.

Malam Ahad lalu, selepas menghantar Tok Ma dan Tok Abah menaiki bas Ekspress Perdana di Dataran Nilai, dan membeli murtabak daging di Restoran Marhaban Bikum, Master menelan dua biji panadol juga untuk melegakan sakit kepala. Sendawa asapnya masih belum hilang.

Kenapa Master sendawa berasa asap?

Sendawa adalah apabila keluarnya gas dari perut melalui mulut. Sendawa yang sedikit adalah biasa, tapi sendawa yang berterusan mungkin tanda ada penyakit.

Master telah muntah-muntah dan perutnya mungkin kosong dan dipenuhi gas. Daripada mana datangnya gas tersebut?

Gas dalam perut terhasil apabila makanan diuraikan oleh perut. Normal sendawa selepas makan dan ianya dikaitkan dengan kemasukan angin semasa kita makan, malangnya ia tidak dikenali sebagai makan angin kerana makan angin adalah simpulan Bahasa Melayu yang bermaksud pergi berjalan-jalan atau melancong.

Selain kemasukan angin ke dalam perut, faktor lain adalah tabiat semasa cuak, dan juga masalah kesihatan seperti ulser dan juga masalah pundi hempedu.

Namun ia sering dikaitkan dengan ketidakhadaman, dan Master tidak dapat mengesan apakah makanan yang menjadi punca ketidakhadaman beliau. Selalunya makanan yang tidak dapat diterima oleh badan Master akan dimuntahkan kembali, dan muntah Master pada petang itu adalah aiskrim Magnolia pomegranate atau delima.

Namun misteri sendawa berperisa asap tu masih belum terurai dan mungkin ia terjadi kerana perut Master kosong?


20170413