Bapa saudara saya ada membeli sebidang tanah. Saya memohon skim Rumah Mesra Rakyat atas namanya tetapi bayaran bulanan rumah tersebut dibayar sepenuhnya oleh saya. Dia dan saya merancang untuk mewakafkan tanah dan rumah tersebut jika dia, isterinya atau saya meninggal dunia nanti.

Saya tidak berminat memiliki rumah dan tanah itu. Jika bapa saudara membuat wasiat mewakafkan tanah tersebut, apakah ia salah dari segi hukum faraid? Bagaimanakah wasiat dapat dibuat bagi memudahkan hasrat bapa saudara dan saya untuk mewakafkan tanah dan rumah itu? - Anak Saudara, Kedah.


hukum faraid dan wakaf orang berhutang Skim Mesra Rakyat Ustaz Kazim Elias

Ustaz Kazim Elias: Dalam hal ini, anda perlu memerhatikan dari sudut berbuat kebaikan atau ihsan. Tanah adalah milik bapa saudara anda dan ini bermakna jika dia meninggal dunia, maka anak dan isterinya berhak mendapat pusakanya termasuklah tanah tersebut.

Jika dia ingin mewakafkan tanah tersebut kepada pihak lain maka hendaklah dilihat dari sudut wasiat iaitu tidak boleh mewasiat harta kepada pihak lain melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan hartanya.

Kedua, anda boleh membuat surat perjanjian dengan mengatakan bahawa anda memberi hutang kepadanya untuk ansuran bulanan dan boleh menuntut hutang itu daripada waris jika ayah mereka meninggal dunia.

Anda juga boleh terus melepaskan apa jua tuntutan dan diniatkan sahaja sebagai sedekah kepada mereka. Kalau ayah saudara anda tidak mahu mewariskan harta itu kepada anak-anaknya maka boleh dihibahkan pada waktu sekarang kepada pihak yang ingin dia hibahkan.

Anda juga boleh meletakkan nama anda di dalam geran tanah tersebut sebagai pemilik atau ditukar nama kepada nama anda sekarang menggantikan nama bapa saudara anda.

Terpulanglah kepada anda hendak pakai yang mana daripada cara ini.