Ada sahabat bertanya tentang satu peribahasa yang berbunyi "seperti bertih digoreng".

Maksud peribahasa seperti bertih digoreng

  1. percakapan yang petah
  2. becakap tidak berhenti-henti atau mengomel atau membebel
  3. bunyi bising yang bertalu-talu

Asal-usul peribahasa "seperti bertih digoreng"

Untuk memahami peribahasa ini kita kena terlebih dahulu mengenali apa itu bertih. Bertih adalah sesuatu bijirin yang kering, contohnya jagung dan beras.

Maksud bertih dari kamus DBP ialah : padi yg digoreng tidak berminyak sehingga berasnya mengembang dan merekah berdetus.

Maksud bertih digoreng:

Sifat bertih ini ialah apabila ia dipanaskan contohnya digoreng, ia akan mengembang dan meletup kerana ada bahagian lembut di dalamnya yang mengembang dan memecahkan dinding luar yang nipis. Ciri ini wujud pada bijirin untuk proses pertumbuhan jika ia ditanam.

Proses menggoreng bertih tentunya melibatkan kuantiti yang banyak. Bertih yang dimaksudkan dalam peribahasa ini pastinya adalah bertih beras kerana ia lebih sinonim dengan masyarakat Malaysia. Apabila digoreng dalam kuantiti banyak, maka akan berlakulah letupan-letupan kecil terhasil, banyak dan laju.

Oleh sebab itulah ia sesuai untuk menggambarkan percakapan atau bunyi yang bertalu-talu. Kalau percakapan tentunya untuk gambarkan seseorang yang suka membebel, manakala kalau untuk gambarkan aksi tembak menembak, tentunya kena laju seperti menggunakan mesingan.

Gambar wartawan temubual gadis cantik bertalu-talu seperti bertih digoreng.

Kalau tak boleh nak bayangkan lagi, bayangkan sahaja proses pembuatan popcorn di mana ia akan meletup dan mengembang bertalu-talu.

Selain itu ciri-ciri letupan ketika menggoreng bertih adalah kecil dan halus sahaja, jadi ia sesuai menggambarkan situasi yang tidak berapa gegak gempita.

bunyi tembakan itu seperti bertih digoreng

Contoh ayat peribahasa "seperti bertih digoreng" atau "bagai bertih digoreng"

  1. Sakit telinga Abu mendengar bebelan ibunya yang seperti bertih digoreng itu.
  2. Kedengaran sayup-sayup bunyi tembakan senapang bertalu-talu seperti bertih digoreng oleh Angkatan Tentera Malaysia ke arah sasaran dalam sesi latihan perang bersama tentera Australia itu.
  3. Bertalu-talu kiriman Whatsapp diterima oleh telefon pintarku itu bak bertih digoreng bertanyakan kebenaran berita kemalangan itu.
  4. Terpinga-pinga ahli politik itu mendengar soalan-soalan wartawan yang seperti bertih digoreng itu.

Karangan ini adalah berkenaan peribahasa Melayu seperti bertih digoreng maksud seperti bertih digoreng atau maksud peribahasa bertih digoreng maksud peribahasa seperti bertih digoreng

20161202