Android N - versi seterusnya untuk sistem operasi Android yang akan dilancarkan secara rasmi oleh Google pada musim panas nanti telah diberi nama: Android 7.0 Nougat.

Sebelum ini Google memilih sendiri nama untuk Android OS, tetapi kali ini mereka serahkan kepada orang ramai untuk memilih nama yang sesuai, namun Google menyatakan mereka berhak untuk memutuskan nama yang sesuai.

Nougat dipilih sebagai nama OS terbaru Android

Nougat disebut nu:ga:. Orang Amerika menambah huruf 't' di belakang perkataan itu dan ia juga disebut n-u-gut.

Mengikut kamus Oxford, nougat adalah manisan daripada gula atau madu, kacang-kacang dan putih telur. Ia dikatakan berasal dari Itali beberapa kurun yang lalu.

Bar coklat Toblerone dari Swiss adalah sejenis nougat, jika kawan-kawan tak boleh bayangkan bagaiman rupa nougat. Tetapi nougat boleh ditemui dalam pelbagai rupa dan jenis.

Sebenarnya ramai peminat Android lebih gemari nama Nutella, tetapi ia mungkin tidak dipilih oleh Google kerana nanti Google akan terpaksa membayar royalti kepada Ferrero Rocher. Sebelum ini Google terpaksa membayar royalti kepada Nestlé apabila gunakan nama KitKat.

Selain itu beberapa cadangan nama yang popular ialah New York Cheesecake, Napoleon, Nut Brittle, Nachos, Nori, Noodles, dan Neapolitan Ice Cream, dan Neyyappam.

Nama Nougat untuk Android N diumumkan oleh Google pada 30 Jun 2016 melalui Snapchat, sebulan selepas Google umumkan kepada orang ramai bahawa mereka boleh hantar cadangan nama melalui atas talian.

Tidak seperti versi Android sebelumnya, Google telah sediakan pilihan untuk muat turun versi Developer Preview dari laman web mereka untuk dipasang ke dalam gajet mereka.

Versi baru Android N dijangka akan boleh dimuat turun ke dalam gajet Android pada penghujung September 2016.


5 Julai 2016