Tanpa ragu-ragu lagi Tedi akui yang Tedi pernah dengar bunyi deruman yang sungguh ketara, dan apabila Tedi palingkan kepala kelihatan Subaru di kejauhan.

Ia adalah bunyi deruman enjin yang sungguh bergemuruh dan Tedi tahu maksudnya, sebuah enjin boxer 4-flat 2.5 liter sedang menghala ke arah Tedi, dan kebisingan derumannya itu bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga Tedi ini.

Tapi kenapa bunyi enjin boxer 2.5 liter Subaru amat berbeza dengan bunyi enjin-enjin lain di jalanan?

Contoh kepala silinder enjin boxer kereta Subaru

Nasib baik ada kawan Tedi dari Engineering Explained yang sudi menjelaskan berkenaan fenomena ini.

Enjin boxer Subaru adalah enjin rata melintang-bersetentang di mana silinder-silinder omboh enjinnya disusun secara melintang melawan satu sama lain. Susunan itu menghasilkan enjin yang tidak berapa tinggi, sekaligus membenarkan kereta-kereta Subaru lebih rapat ke tanah.

Rekabentuk itu sahaja sudah cukup untuk memberikan enjin boxer Subaru bunyi yang berlainan, namun enjin 2.5 liter mempunyai satu lagi ciri yang menyumbang kepada bunyi yang lebih berbeza iaitu penggunaan sistem paip dengan panjang berbeza.

Enjin 2.5 liter Subaru mempunyai sistem perpaipan dengan 2 panjang yang berbeza, di mana kepala perpaipan dari silinder satu dan tiga berbeza dengan paip silinder dua dan empat.

Ini bermakna gas ekzos yang dihasilkan terpaksa melalui jarak yang berlainan, menghasilkan bunyi yang berlainan juga. Bunyi yang tidak rata itu keluar daripada ekzos lalu menghasilkan bunyi yang bergemuruh.

Malangnya rekabentuk itu tidak terdapat pada enjin baru boxer 2.0 liter… bermakna Subaru XV STI tiada bunyi gemuruh tersebut… huhuhu…