Wah, boleh kalah pula pasukan Malaysia, kalah dengan perseorangan kedua, beregu kedua, dan perseorangan ketiga.

Semua itu menunjukkan bahawa pasukan Malaysia masih belum mempunyai skuad pelapis yang kuat.

Semalam Tedi dikecewakan oleh persembahan Iskandar Zulkarnain yang kelihatan banyak melakukan pergerakan yang sia-sia walaupun semangatnya tampak membara. Selain itu Iskandar Zulkarnain perlu lebih kuat psikologinya, jangan tunjukkan kepada pihak lawan bahawa anda sedang tertekan, dan jangan tunjukkan kepada lawan bahawa anda sedang dalam kepenatan.

Jika boleh, lebihkan permainan menyerang, jangan ikut sangat rentak lawan. Smash tu janganlah smash ke bahagian yang pihak lawan selesa, kalau boleh biar sampai dia berpusing nak angkat smash tu, lama-lama dia akan kepenatan juga.

Selain itu Tedi kecewa kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak memilih Zulfadli Zulkifli walaupun ranking beliau lebih baik. Kasihan bagi pemain yang berusaha keras naikkan ranking tapi tidak dipanggil mewakili negara Malaysia yang tercinta ini.

Apa-apa pun kem latihan badminton negara lebih tahu, ataupun semua ini ada udang di sebalik batu?

 
Beregu kedua negara Koo Kien Keat - Tan Boon Heong tewas kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set 21-10, 8-21 dan 13-21. - Foto Astro Awani

MALAYSIA gagal layak ke final Piala Thomas 2016 selepas terpaksa tunduk kepada Denmark 2-3 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Kunshan, tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad negara gagal menepati sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk layak ke final sekaligus tidak berjaya mengulangi pencapaian dua tahun lalu di New Delhi.

Dalam perlawanan tersebut, peluang untuk layak ke final tampak cerah apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mudah menundukkan Viktor Axelsen 23-21,21-18 dalam pertarungan selama 54 minit.

Gandingan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberikan mata kedua negara selepas menewaskan Mathias Boe-Mads Conrad Petersen straight set 21-18,21-18.

Bagaimanapun, kemaraan cemerlang skuad negara bagaikan disentap dengan Juara Kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin terpaksa akur kalah kepada Hans Kristian Vittinghus 18-21 dan 18-21.

Detik cemas terus menyelubungi kem negara apabila beregu kedua negara Koo Kien Keat - Tan Boon Heong juga turut tewas kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set 21-10, 8-21 dan 13-21.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, harapan yang disandarkan kepada perseorangan ketiga Chong Wei Feng tetap gagal memberikan kemenangan apabila kecundang mudah kepada Emil holst15-21 dan 18-21.