Kandungan: 
Tok Ma gorengkan keropok lekor | Keropok Losong bukan dari Terengganu?Keropok lekor duta Malaysia? | Jenis ikan untuk keropok lekor | Jenis keropok lekor di Malaysia


22:41, Lapangan Terbang Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Kami sedang berada di Balai Berlepas menunggu kapal terbang AirAsia penerbangan AK6445 jam 11:15 ke Kuala Lumpur.

Semoga penerbangan lancar dan kami tiba awal di KLIA2 kerana kami perlu menaiki ERL ke Salak Tinggi sebelum jam 1 pagi.

 

Tok Ma gorengkan keropok lekor

Petang tadi Tok Ma gorengkan keropok lekor.

Nama lain bagi keropok lekor ialah keropok batang atau disebut juga keropok gote (kalau Tedi tak salah eja) di negeri Kelantan. 

Kawan-kawan pernah makan atau dengar pasal keropok lekor?

Kalau tak pernah mungkin kawan-kawan bukan orang Malaysia. Keropok lekor ni adalah makanan ringan orang Pantai Timur Semenanjung Malaysia selalunya berasal dari negeri Terengganu atau Kelantan.

Selain itu Tedi pernah juga merasa keropok lekor di Sedili Kecil, jadi mungkin keropok lekor boleh diperolehi di kawasan tepi pantai di mana manusia menjalankan aktiviti nelayan.

Keropok lekor yang popular dari Terengganu adalah keropok lekor Losong (lebih terkenal sebagai Keropok Losong),  manakala dari Kelantan tidaklah Tedi punyai pengetahuan tentangnya.

 

Keropok Losong bukan dari Terengganu?

Boleh sahaja sesiapa mendakwa keropok lekor yang mereka hasilkan adalah Keropok Losong walaupun tidak dihasilkan di Losong Terengganu, jika maksud mereka bahannya dan cara pembuatannya adalah sama seperti keropok lekor Losong.

Tetapi pada pendapat Tedi, Keropok Losong adalah merujuk kepada satu kawasan bernama Losong di Terengganu dan bukannya cara pembuatannya atau rasanya kerana di kawasan itu popular dengan aktiviti pembuatan keropok lekor oleh pelbagai pengusaha dan pelbagai ramuannya.

Jadi lebih baiklah kawan-kawan gunakan jenama sendiri seperti Keropok Lekor Wangsa Maju untuk mempromosikan keropok lekor anda, tak perlu menumpang jenama orang, lagipun jika ada jenama sendiri, jika produk keropok lekor anda meletup, anda yang untung.

 

Keropok lekor duta Malaysia?

Itulah pendapat Tedi kerana Tedi selalu juga terserempak dengan penjualan keropok lekor goreng ni di Jalan Masjid India yang sering menjadi tumpuan pelancong asing.

Keropok-keropok lekor yang dijual di sana sering dipromosikan sebagai keropok lekor dari Kelantan atau Terengganu.

Tapi rasanya dan teksturnya jauh panggang dari api!  Ada yang macam kayu balak dan ada juga yang macam getah skrap, keras ataupun liat gila babi.

Semua ini pastinya menjejaskan pandangan para pelancong kepada snek original Malaysia ini.

Persoalannya, siapakah pihak yang boleh memperbetul masalah ini dan bagaimanakah caranya?

Moga keropok lekor di Kuala Lumpur boleh menjadi produk yang kita boleh banggakan,  bukannya dikutuk selepas beberapa gigitan.

 

Jenis ikan untuk keropok lekor

Jenis-jenis ikan yang digunakan untuk menghasilkan keropok lekor di Malaysia di antaranya ialah:

  1. ikan parang,
  2. tamban (paling banyak digunakan),
  3. selayang / sardin,
  4. kerisi,
  5. lolong bara,
  6. biji nangka, dan
  7. conor

 

Jenis keropok lekor di Malaysia

Keropok lekor dikategorikan mengikut cara hidangannya seperti:

  1. keropok lekor rebus
  2. keropok lekor goreng
  3. keropok lekor bersira
  4. keropok keping

Pada masa akan datang mungkin kita akan menemui keropok lekor hot and spicy, atau keropok lekor cheesy, sesuai dengan peredaran zaman dan perubahan selera tekak manusia.

Mungkin kawan-kawan pelik kenapa keropok keping juga Tedi masukkan dalam jenis keropok lekor? Kerana untuk penghasilan keropok keping ia berasal daripada keropok lekor juga cuma ada langkah seterusnya iaitu dicampur sagu dan dihiris nipis sebelum dijemur.

Keropok keping lebih tahan lama. Tetapi ingat makanan laut yang disimpan lama mungkin akan menyebabkan kita kegatalan seperti yang telah Tedi huraikan dalam kiriman bertajuk Mulut gatal natijah makan keropok.

 

Kalori keropok ikan

Sedap makan keropok ikan ni kalau tak gatal mulut atau tidak masin (Keropok ikan Jalan Tunku Abdul Rahman tak mampu dimakan).

Tetapi jangan lupa jumlah kalori yang diambil hasil makan keropok ikan seperti keropok lekor atau keropok keping ni.

Mengikut pembacaan Tedi:

  • kalori keropok ikan goreng adalah 150 kalori untuk 30 gram atau lebih kurang 5 keping keropok.
  • kalori keropok lekor
    • versi 1: 90 kalori untuk 30 gram atau satu keping.
    • versi 2: 210 kcal untuk 70 gram atau 3 keping / 70 kcal sekeping.

 


Karangan ini mula diterbitkan pada 20160523. Kemaskini 20210911 subtajuk "Keropok Losong bukan dari Terengganu?", "Jenis ikan untuk keropok lekor", dan "Jenis keropok lekor di Malaysia".
Rujukan: Keropok Lekor berkhasiat? – Keropok Lekor Pantai TimurPerusahaan Keropok Lekor Makanan Tradisi Melayu TerengganuKalori Keropok Goreng (kalorimakanan.com)Kalori Keropok Lekor (kalorimakanan.com)MyNutri (moh.gov.my)