Semalam kami singgah di Yemen untuk berbuka puasa.

  1. Yemen yang dimaksudkan bukanlah sebuah negara di Timur Tengah ataupun Asia Barat, melainkan sebuah restoran makanan timur tengah yang terletak di Cyberjaya.
  2. Lokasinya ialah di sebelah Restoran Sharin Low dalam kawasan komersial yang sama dengan Restoran Saba.
  3. Ia menyediakan buffet berbuka puasa bermenukan Nasi Arab pada harga RM 30 (tiga puluh ringgit sahaja) tanpa caj perkhidmatan 10% seperti yang dikenakan Restoran Saba.
  4. Dengar khabar, Restoran Saba menyediakan juga buffet berbuka puasa pada harga RM 50 (lima puluh ringgit) sekepala di samping GST 6% dan caj perkhidmatan 10%.
  5. Sebut tentang makanan, bolehlah kekawan cuba sendiri.

Bertemu bekas teman sepejabat.

  1. Adapun kami ke sana bukanlah saja-saja mahu makan di sana, sebaliknya Master ada temujanji bersama bekas teman sepejabatnya ketika beliau bekerja di Integrated Knowledge & Campus Management Sdn Bhd (IKCM) dulu.
  2. Agak mengujakan untuk melihat IKCM semakin maju dan semakin ramai pekerjanya setelah ditinggalkan Master kira-kira 2 tahun dahulu.
  3. Master sempat berjumpa dengan salah seorang pekerja baru IKCM dan dia melihat ada masa depan yang cerah untuk IKCM.
  4. IKCM bukanlah sebuah syarikat yang besar dan mungkin oleh sebab itu ia lebih bercirikan kekeluargaan di mana hubungan baik dibina bukan sesama pekerja sebaliknya turut melibatkan ahli keluarga mereka.
  5. Selain itu IKCM memberi kebebasan kepada para pekerjanya untuk berkarya sesuai dengan produk yang mahu dihasilkan, sesuai dengan statusnya sebagai sebuah syarikat pembangun sistem maklumat pengurusan, sistem maklumat kewangan dan berbagai produk lain.
  6. Setelah selesai berbuka, kami singgah sebentar di ibu pejabat IKCM untuk menunaikan solat Maghrib, dan kemudian Master sambung berbual sehingga jam sepuluh malam.
  7. Perbualan mereka rata-rata berkisar kepada perkembangan teknologi maklumat di Malaysia.
  8. Sebelum pulang, Master sempat bergambar kenang-kenangan dan meninggalkan pesan untuk IKCM memanggil beliau jika ada peluang Master mendapatkan sumber pendapatan.
  9. Jika boleh Master mahu menjadi pengaturcara yang expert dan mampu menjual kemahirannya untuk menjana ekonomi rumahtangga.