Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

rencana@hmetro.com.my


Kampung Baru di tengah-tengah hutan batu dan konkrit Kuala Lumpur melambangkan kehidupan masyarakat Melayu yang unik kerana ia satu-satunya perkampungan Melayu yang wujud selepas pembangunan menyebabkan Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum kini hanya tinggal nama.

Menyusuri sejarah, kampung berusia 115 tahun dengan keluasan 378.93 hektar itu bermula dengan satu Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1990 mengenai The Malay Agricultural Settlement yang membenarkan orang Melayu membuka penempatan dan mengamalkan gaya hidup kampung.

Berikutan pembangunan pesat, Kampung Baru dihimpit bangunan moden dan pencakar langit. Ini menyebabkan ramai generasi yang ada berpindah keluar dan me­nyewakan kepada orang luar.

Justeru, usaha perlu dilakukan bagi memastikan keunikan Kampung Baru terutama seni bina yang ada dipertahankan bagi menjaga warisan Melayu dan tatapan kepada pelancong luar.

Terletak di lingkungan segi tiga emas, nilai tanah di Kampung Baru kini mampu mencecah jutaan ringgit.

rumah-biru-kampung-baru-rumah-limas

Sehingga kini, tujuh kampung berada di bawah Kampung Baru iaitu Kampung Periok, Kampung Masjid, Kampung Atas, Kampung Bawah, Kampung Hujong Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Keunikan dan keaslian seni bina rumah tradisional Melayu menjadi identiti Kampung Baru.

Rumah limas atau ‘rumah biru’ milik Mohd Noor Muhd Amin, 73, di Kampung Baru mempunyai keunikan tersendiri dengan seni bina tradisional.

Dengan mengetengahkan rumah tradisi limas yang asalnya boleh ditemui di Selangor, Johor dan Terengganu, rumahnya antara paling indah.

Menyingkap kisah rumah ini, katanya rumah limas yang digelar penduduk Kampung Baru asalnya dibina arwah datuk dan ayahnya.

“Datuk yang mahir membuat rumah mereka bentuk rumah limas menggunakan kayu cengal serta meranti.

“Reka bentuk mengutamakan aspek pencahayaan, pengudaraan dan keselamatan kerana rumah itu mempunyai tiang tinggi untuk mengelak banjir,” katanya.

Perkembangan semasa menyaksikan rumah limas turut mengalami perubahan kerana beberapa bahagian diganti untuk memastikan kediaman terus wujud, tapi masih mengekalkan identiti asalnya.

Lantai rumah daripada kayu digantikan dengan jubin bagi mengelak dimakan anai-anai setiap kali banjir melanda Kampung Baru.

Hiasan dalamannya masih mengekalkan perabot dan meja makan lama milik bapanya yang berusia setengah abad yang diletak di ruang tamu bersebelahan meja makan dan bilik tidur utama.

Mohd Noor juga antara penduduk paling lama di kampung ini berharap dapat menetap di rumah­nya sehingga akhir usia.

“Kawasan ini dulunya hutan dan dusun, malah orang-orang tua pernah memberitahu kelibat harimau pernah dilihat di kawasan itu.

“Selepas Sultan Selangor ketika itu mengarahkan supaya meneroka kawasan itu dan membina rumah, tempat itu mula membangun menjadi kampung,” katanya.

Katanya, banjir besar Kuala Lumpur pada tahun 1970 menyebabkan Kampung Baru ‘lumpuh’ selama dua hari.

“Mujurlah rumah ini mempunyai tiang tinggi, justeru ia terselamat daripada bencana besar itu.

“Tangga batu gaya rumah Melaka serta anjung selain tingkap berdaun sudah diwarisi sejak hampir satu abad,” katanya.

Katanya, rumah tradisi berusia 100 tahun itu meninggalkan banyak kenangan yang tidak boleh dilupakan.

“Ada pihak mahu membeli rumah warisan itu, tapi saya menolak kerana wang bukan ukuran jika dibandingkan dengan nilai sentimental yang diwarisi daripada rumah itu.

“Rumah inilah mercu tanda keluarga saya dan terus diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Dia mengakui tidak boleh menghalang pembangunan, cuma meminta kerajaan mengekal dan memulihara sebahagian rumah tradisional di Kampung Baru sebagai warisan budaya bangsa khususnya bagi orang Melayu.


Sumber: hmetro.com.my
20150620