Kami sampai ke Petronas BBN sekitar jam 9.30 malam.

Alkisahnya Tedi dan Mommy dan Master dan Rabbit dalam perjalanan pulang dari kampung Master yang terletak di Felda Sungai Lui ke teratak kami.

Kami melalui jalan Air Hitam ke Simpang Pertang ke Kuala Klawang ke Pantai dan tembus ke Lebuhraya LEKAS sebelum keluar di persimpangan Pajam dan Nilai. Jalan sungguh sesak dan tersangkut-sangkut, bersusun kereta dari Simpang Pertang ke Pantai.

Hantu Kak Limah dirompak dua orang lelaki ketika memandu Toyota VIOS bersendirian dalam perjalanan pulang dari set penggambaran.

Kemudian kami singgah di Petronas Bandar Baru Nilai supaya Mommy dan Master dapat menunaikan solat.

Mommy pergi dulu sementara Master, Tedi dan Rabbit menanti di kereta. Master tunggu di luar kereta. Polisi bergilir-gilir ini adalah untuk mengelakkan kecurian kereta atau kecurian barangan dalam kereta atau dalam bahasa saintifiknya, pecah kereta.

Kemudian datanglah seekor Toyota VIOS. Di dalamnya Tedi perasan ada seorang pakcik, seorang makcik dan seorang gadis.

Usai kereta itu berhenti, makcik dan gadis itu berpusu-pusu menerjah tandas wanita. Enjin kereta Toyota VIOS itu masih hidup, kerana seorang pakcik itu masih berada di dalamnya.

Tiba-tiba seorang pakcik itu menuju ke tandas lelaki. Master jadi hairan, enjin kereta Toyota VIOS itu masih belum dimatikan dan yang lebih durjananya lagi, pintu pemandu Toyota VIOS itu tidak ditutup!

Master intai, Tedi intai, Rabbit pun intai juga, tidak kelihatan kelibat manusia mahupun hidupan liar hatta makhluk asing di dalam Toyota VIOS itu! Berani sungguh seorang pakcik itu meninggalkan keretanya dalam keadaan sebegitu.

Tiba-tiba hadir dua warga asing berketurunan Afrika lalu di sebelah kereta itu. Master terkejut, Tedi terkejut, Rabbit pun terkejut juga, tapi kami dengan tabahnya menjegilkan mata kami kepada mereka.

Nampak ganas tak budak ni jegilkan mata? Inilah teknik untuk melindungi kawasan kita. Insya-Allaj, subjek akan faham isyarat ini dan menjauhi kawasan tersebut.


Bukanlah nak sayak wasangka, tetapi adat dalam dunia rimba, siapa yang tunjuk ganas, kawasannya akan terjaga. Jadi penjegilan mata kami itu seolah-olah sebagai isyarat kepada mereka bahawa kereta Toyota VIOS itu dalam jagaan kami.

Sementara itu, Master juga telah bersiap sedia dengan kunci kereta Proton SAGA BLM Mid-Line 1.3 MT IAFM. Siapa yang tak tahu bahawa bunyi penggera kereta Proton SAGA BLM kalau dibunyikan, sungguh bingit bunyinya.

Akhirnya seorang makcik dan seorang gadis itu kembali ke kereta Toyota VIOS itu. Kami berasa lega, namun kami masih mengawasi sekeliling, manalah tahu kalau-kalau ada sesuatu berlaku, kudrat kedua-dua mereka mungkin tidak mampu menjaga diri mereka sendiri.

Bukanlah nak kata yang kudrat kami ini mampu melindungi mereka, kerana hanya Kudrat Allah subhanahu wa ta'ala sahaja yang berkuasa atas tiap sesuatu.

Kepada kawan-kawan di luar sana, usah hidang peluang kepada jenayah di tempat anda. Penjenayah hanya akan bertindak apabila mereka nekad dan nampak peluang. Tambahan dengan peraturan manusia yang tidak mampu menggentarkan hati mereka, bertambahlah mereka bermaharajalela.

Yang penting, kita harus bersyukur kerana Malaysia masih aman.