Gambar keratan akhbar bertajuk Perpaduan Kaum Elak Tragedi
(14)NASIONAL, Isnin 28 Mei 2012, BERITA HARIAN
keratan akhbar bertajuk "Perpaduan kaum elak tragedi"

Raja Perlis minta rakyat tidak termakan hasutan boleh gugat keharmonian

Oleh Shamsul Munir Safini bhnews@bharian.com.my

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail meminta rakyat menjadikan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama sebagai nadi kemakmuran negara bagi mengelak berulangnya tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Titah baginda, rakyat seharusnya tidak termakan hasutan segelintir golongan cuba memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian negara dengan menyebarkan hasutan bagi sesetengah kes kecil, dengan harapan masyarakat bergaduh dan berbalah sesama sendiri.

Baginda bertitah, rakyat di negara ini perlu menjadikan panduan peristiwa di negara luar apabila rakyat sebangsa dan seagama bergaduh sesama sendiri hingga menyebabkan kehancuran dan penderitaan. Tanpa perpaduan, negara terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan yang boleh menga-kibatkan kedaulatan negara terjejas serta menjadi punca berlakunya huru-hara, rusuhan serta pergadu-han kaum.

"Rakyat seharusnya menjadikan perpaduan sebagai pegangan jangka panjang bagi membolehkan masyarakat di Malaysia hidup di bawah satu bumbung dengan harmoni dan sejahtera walaupun di kalangan berbilang kaum," titah baginda ketika merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri di Simpang Empat di sini, semalam.

Pada sambutan bertemakan Kesederhanaan dan Keakraban Asas Perpaduan itu, rakyat pelbagai bangsa, agama dan keturunan hadir menyertai beberapa program dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, peranan memupuk perpaduan perlu lebih ditekankan kepada generasi muda terutama pada peringkat sekolah, malah ibu bapa perlu mendidik anak mereka cara menghormati kepercayaan bangsa lain serta belajar menerima kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

*** 28 Mei 2012, 20120528 ***